Malaysia selesai isu TKI dengan semangat persahabatan , jelas PM Anwar
Malaysia menangani isu Tenaga Kerja Indonesia yang masuk ke negara ini tanpa dokumen sah dengan baik sesuai dengan prinsip persahabatan dengan negara jiran itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas program ‘Temu Anwar’ di Jakarta malam tadi berkata, puluhan ribu TKI yang melakukan kesalahan itu telah dihantar balik, meskipun soal dokumen merupakan hal yang serius, kerajaan Malaysia tetap menanganinya dengan baik, tanpa pendakwaan di mahkamah.
“Kalau yang sudah ditangkap, dikirim (dihantar) pulang, dan kita percepatkan proses itu,” katanya.
Perdana Menteri ditanya oleh media tempatan mengenai proses kemajuan dalam menguruskan masalah TKI di Malaysia, selepas kunjungan Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia pada Jun lepas.
Sementara itu Anwar dipetik laporan Bernama turut menyentuh mengenai isu Laut China Selatan yang dibincangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN pada Selasa.
Perdana Menteri berkata, Malaysia ada pendirian dan menegaskan supaya ASEAN ada pendirian yang sama untuk pertahankan hak dan berunding dengan baik dengan China.