Semasa

Saifuddin bidas tindakan pihak cuba letak semua perkara atas bahu Anwar

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menempelak sikap sesetengah pihak yang cuba meletak semua masalah di negara ini diatas bahu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada pertuduhan rasuah, Saifuddin menegaskan ia tiada kaitan dengan kuasa eksekutif Perdana Menteri.

Tambah beliau, kuasa menghentikan atau meneruskan sesuatu pendakwaan adalah kuasa Peguam Negara mengikut perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

“Peguam Negara ada kuasa di bawah 145 untuk dakwa atau tidak, untuk meneruskan atau menggugurkan (sesuatu pertuduhan).

“Itu kuasa yang ada dalam Perlembagaan. Sebab itu saya menolak dan menangkis sebarang tuduhan dan andaian bahawa tindakan apa pun yang dibuat oleh Peguam Negara, semuanya diletakkan di bahu Perdana Menteri.

“Ini seolah-olah Perdana Menteri tiada kerja lain,” katanya.

Saifuddin sebelumnya ditemui pemberita selepas menghadiri ceramah Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di Taman Angerik, di Johor Bahru pada malam Selasa.

Pada Isnin, Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Perkara 145 antara menyatakan Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan Mahkamah Syariah, Mahkamah Anak Negeri atau Mahkamah Tentera.

Related Articles

Back to top button