Sazali rakam ucapan penghargaan kepada PM Anwar
Anak Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Sazali, 64 pada Selasa menyatakan penghargaan kepada keperihatinan dan bantuan diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kepadanya dan isteri.
Sazali berkata, beliau bukan sahaja terharu dengan keperihatinan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, malah bantuan disalurkan memberi kelegaan kepada beliau.
“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada PM atas sumbangan dihulurkan sebagaimana diperlukan untuk menampung kos pembedahan isteri yang sudah lama menghidapi penyakit ini.
“Saya juga ucapkan terima kasih kepada Harian Metro kerana membantu memaparkan kisah saya dan isteri yang sememangnya memerlukan bantuan. Saya tak tahu mana lagi nak dituju kerana kontrak royalti arwah bapa (P Ramlee) selama 50 tahun sudah tamat sepenuhnya pada 29 Mei lalu,” katanya dipetik laporan Harian Metro.
Sazali baru-baru ini menyatakan hasratnya ingin bertemu dengan PM untuk memohon bantuan bagi rawatan isterinya yang berdepan masalah tulang belakang dan saraf di leher yang pembedahannya tidak boleh ditangguh-tangguh lagi.
Susulan itu Anwar mewakilkan Setiausaha Politik, Ahmad Farhan Fauzi berkunjung ke kediaman Sazali di Semenyih pada 1 September lalu untuk menyerahkan bantuan segera.
Sementara itu Sazali berkata, isterinya dijangka akan bertemu doktor pakar di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM) di Cheras pada 25 September ini dan diharapkan semuanya berjalan lancar.
“Insya-Allah, isteri saya akan berjumpa dengan doktor pakar di HCTM berkaitan masalah kesihatan pada temujanji pada 25 September ini. Saya mohon doakan semua urusan lancar pada usia emas ini,” katanya.
Sebagai rekod, Sazali kini dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) selepas terbabit kemalangan dan mengalami kecederaan teruk di kaki sehingga tidak boleh bekerja sejak 2015.