Politik

Keluar fatwa sesuka hati, Muhyiddin terpengaruh sikap Pas – Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan tindakan Presiden BERSATU mengeluarkan ‘fatwa politik’ haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai sebagai terpengaruh dengan sekutunya Pas.

Saifuddin yang juga Ketua Setiausaha PH berkata, tindakan mengeluarkan fatwa semberono bagi meraih sokongan itu bukan mengejutkan kerana pendekatan dibawa Presiden Pas, Abdul Hadi Awang boleh membuatkan rakan sekutunya terikut-ikut dan terpengaruh.

“Saya sendiri tidak terkejut sama sekali (fatwa haram) kerana parti yang Muhyiddin dampingi sekarang ini adalah parti Pas.

“Pas sekarang tidak seperti zaman Allahyarham Yusof Rawa, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor, Haron Din, Datuk Yahya Othman, ia berbeza… ini nama-nama yang sangat menjaga akhlak politik mereka.

“Tapi Pas sekarang di bawah Abdul Hadi Awang…kuasa adalah segala-galanya. Kekuatan PAS sekarang ini diukur dengan jumlah kerusi yang dimenangi. Kempen di Johor pun Hadi masih meratib untuk jatuh Kerajaan Perpaduan.

“Sifir matematiknya tidak masuk akal langsung tetapi masih diungkap. Apabila lama berkawan (Muhyiddin dan Pas ) ternyata beberapa perkara, pendekatan dan tabiat seperti itu, sekarang menjadi ikutan pula parti BERSATU. Ini sesuatu yang sangat malang,” katanya.

Muhyiddin baru-baru ini ditempelak ramai kerana membuat fatwa semberono yang disifatkan sebagai mempersenda hukum agama.

Kerajaan Negeri Johor kemudian meminta semua pihak termasuk ahli politik tidak membuat sebarang kenyataan memecah belah masyarakat dan mengelirukan termasuk membabitkan fatwa.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid menegaskan di negeri itu fatwa hanya boleh ditetap oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri selepas diperkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Muhyiddin tiada sebarang kuasa untuk mengeluarkan apa-apa fatwa.

Dalam pada itu, Saifuddin menggesa agar Presiden BERSATU itu bersikap matang dan tidak mengulangi tindakan seumpama itu, sebaliknya menggunakan pendekatan yang positif dan sihat apabila berkempen.

“Memadailah kita bertarung dalam politik ini dengan menawarkan sesuatu yang dibandingkan…dasar dengan dasar dan program dengan program, tawaran dengan tawaran. Saya fikir itu lebih molek berbanding melemparkan atau mengenakan satu hukum, terutama disandarkan dengan agama tanpa mengikut tertib, kaedah sesuatu hukum itu dikeluarkan,” katanya.

Related Articles

Back to top button