Semasa

Kerajaan Johor akan pastikan Abdullah Amir dapat rawatan terbaik

Kerajaan Negeri Johor akan memastikan remaja lelaki yang terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengorbankan enam ahli keluarganya akan mendapat rawatan terbaik.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata begitu sebagai mengulas perkembangan Abdullah Amir Ruddin yang parah dan kini sedang dirawat di Hospital Segamat.

“Abdullah masih dalam pemantauan pasukan perubatan dan ditidurkan dalam ICU, kita lihat keadaannya juga adalah stabil, sama seperti sebelum ini.

“Kerajaan negeri akan memberi bantuan dari segala segi termasuk kos perubatan. Kita juga akan memastikan beliau mendapat rawatan yang terbaik,” katanya mengulas mengenai keadaan remaja terbabit.

Kemalangan pada 1 September lalu di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan mengorbankan bapa dan ibu mangsa iaitu Amir Ruddin Ismail, 46, dan Norahimah Noor Muhammad, 43.

Turut maut dalam kemalangan membabitkan kereta Perodua Alza dinaiki keluarga itu yang bertembung dengan sebuah lori adalah empat lagi adik-beradik mangsa, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Sementara itu Ling meminta orang ramai, khususnya saudara dan komuniti untuk terus memberikan sokongan positif kepada abang sulung remaja terbabit, iaitu Abdul Rahman Amir Ruddin, 19.

“Sebagai seorang abang, pastinya untuk berhadapan dengan cabaran seperti ini adalah tidak mudah. Jadi, saya menyeru sokongan positif terutama dari saudara dan komuniti terdekat, kerana beliau sangat-sangat memerlukannya,” katanya.

Abdur Rahman dalam satu laporan media semalam memberitahu, adiknya Abdullah sudah menunjukkan perkembangan positif dan mampu menggerakkan tangan.

“Saya dimaklumkan, kebanyakan wayar yang dipasang di tubuhnya sudah dicabut. Cuma saya dimaklumkan adik akan menjalani pembedahan memasukkan besi di tangan pada 16 September ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button