Semasa

Kertas siasatan terhadap Abdul Hadi disiapkan secepat mungkin

PIHAK  berkuasa polis dijangka akan menyelesaikan siasatan terhadap  Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang minggu ini.

Merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi yang mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan dalam ceramahnya di hadapan penyokong Pas di markas parti itu di Bakri, Muar, bulan lepas, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kertas siasatan akan diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan susulan.

“Prosedur operasi standard Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguruskan kes berkaitan 3R (agama, raja dan bangsa) adalah tidak melebihi daripada tujuh hari.

“Tugas polis adalah untuk menyiapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman baru-baru ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang diambil keterangan pada Isnin oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman susulan kenyataanya.

Mengulas mengenai proses mengambil keterangan itu, Ayob Khan berkata hanya lima daripada 24 soalan yang diajukan polis telah dijawab oleh Abdul Hadi, dan selebihnya dimaklumkan akan dijawab di mahkamah nanti.

Pada 28 Ogos, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata siasatan telah dibuka terhadap Abdul Hadi di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Sementara itu Ayob Khan dalam sidang media sama memaklumkan PDRM dalam proses untuk mendapat perintah notis merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) berhubung kes melibatkan menantu bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan.

“Kes ini disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kami hanya diminta untuk membantu permohonan notis merah, dan ia bukan mudah kerana perlu lalui banyak proses, antaranya perlu mendapatkan waran terlebih dahulu,” katanya.

Muhammad Adlan, 48, dan rakannya Mansoor Saat, 69, dikehendaki tampil ke SPRM bagi tujuan pendakwaan kes rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

Related Articles

Back to top button