Malaysia-Kanada kukuh kerjasama ke tahap lebih luas
Malaysia dan Kanada bersetuju untuk terus mengukuhkan dan membawa kerjasama dua hala dua negara tersebut ke tahap yang lebih luas.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui hantaran terbaharu di laman X yang dulu dikenali sebagai Twitter susulan pertermuan dengan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau di sini, pada Rabu.
“Ruang lingkup yang ada pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang-sidang Kemuncak berkaitan di Jakarta ini turut digunakan bagi mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan saya TYT Justin Trudeau.
“Dalam pertemuan kali pertama kami ini, persetujuan dicapai untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Kanada, terutama dalam perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, hubungan sesama insan serta bidang-bidang baharu termasuk ekonomi hijau, sains dan teknologi, serta kecerdasan buatan menerusi Strategi Indo-Pasifik Kanada,” kata Anwar.
Sewaktu Persidangan Kemuncak semalam, Anwar turut menyaksikan pelancaran Perkongsian Strategik ASEAN-Kanada.
Anwar pada ucapan pencelahannya berkata, kedua-dua pihak meneruskan rundingan membina ke arah memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada, yang dijadualkan pada tahun 2025.
Beliau turut mencadangkan agar kedua-dua ASEAN dan Kanada untuk meneruskan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, teknologi digital, serta menggalakkan pertukaran para pakar dalam bidang-bidang yang berkenaan bagi menangani kesan krisis makanan dan tenaga.
Selain itu, beliau turut menyeru negara-negara maju untuk menerajui dalam memberi sokongan kepada negara-negara membangun dalam tindakan iklim.