Malaysia seru ASEAN manfaat kepakaran teknologi tenaga Jepun, Korea Selatan
Malaysia menyambut baik peningkatan kerjasama antara ASEAN bersama Jepun dan Korea Selatan dalam pelbagai bidang terutama teknologi hijau, digital serta tenaga bersih.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan dan pemindahan teknologi dua negara itu kepada ASEAN boleh dimanfaatkan sebaik mungkin meningkatkan lagi ekonomi dan kemakmuran rakyat di rantau ini.
“Kami menekankan kepentingan perkembangan teknologi hijau, kemampanan iklim, serta mengoptimum penggunaan tanah bagi tujuan keterjaminan makanan, dengan mengutamakan pelepasan karbon rendah serta pembangunan iklim sosio-ekonomi.
“Pada masa yang sama, kami menggesa semua negara terlibat untuk memastikan usaha berterusan dalam mengekalkan sumber nasional serta ekosistemnya,” katanya sewaktu berucap di persidangan ASEAN-ROK (Republic of Korea) ke-24, pada Rabu yang turut disertai Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol.
Dalam pada itu Anwar berkata, usaha menangani perubahan cuaca memerlukan tindakan kolektif dan bersepadu semua pihak, dan Malaysia mengalu-alukan kerjasama yang akan dicapai melalui penubuhan ASEAN-ROK Cooperational Centre for Carbon Neutrality and Green Transition.
Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan pencelahan di Persidangan Kemuncak ASEAN-Jepun ke-26, Anwar memberitahu Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, Malaysia menghargai sokongan Jepun dalam penubuhan Centre for Digital Innovation and Sustainable Economy, di bawah Economic Research Institute for ASEAN and East Asia.
“Perubahan cuaca nyata mewujudkan ancaman kepada bukan sahaja kepada negara kita (ASEAN dan Jepun), tetapi juga kepada planet ini. Kita perlu melipatgandakan usaha untuk menanganinya dengan menyokong penggunaan tenaga boleh baharu (TBB).
“ASEAN boleh memanfaatkan kepakaran Jepun dalam membangunkan teknologi tenaga bersih, TBB, serta urus tadbir terbaik, termasuk melalu ASEAN-Japan Energy Efficiency Partnership dan ASEAN-Japan Climate Agenda 2.0,” katanya.
Untuk rekod, ASEAN antara yang paling terdedah dengan perubahan iklim, dengan lima daripada 20 negara paling berisiko tinggi terletak di rantau ini.
Kegagalan menangani perubahan iklim jelas ASEAN berisiko untuk menurunkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serantau sebanyak 11 peratus menjelang tahun 2100, dan mampu membuatkan 87 juta penduduk di kawasan berisiko banjir di Indonesia, Malaysia, Myanmar, Thailand dan Vietnam kehilangan tempat tinggal.