Pemuda Amanah lapor polis, dakwa pemimpin PAS sentuh isu 3R
Pemuda Amanah pada Rabu membuat laporan polis terhadap Ketua PAS Tenggara Mohd Nazari Mokhtar yang didakwa membuat hantaran menyentuh sentimen kaum, agama dan institusi diraja (3R) .
Ketua Pemuda Amanah, Mohd Hasbie Muda, berkata laporan polis itu dibuat oleh wakil Pemuda Amanah Cawangan Perling Muhammad Syazwan Ismail di Balai Polis Tampoi.
Tambah Hasbie, hantaran menyentug sentimen 3R itu dibuat menerusi akaun Facebook ‘Nazari Mokhtar’ beberapa hari lepas, antaranya mendakwa Pakatan Harapan (PH) akan membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya sekiranya calon Pakatan Harapan (PH) Suhaizan Kayat Parlimen Pulai menang.
Nazari juga menurutnya juga mendakwa dengan persempadanan semula itu, DAP akan menguasai lebih banyak kerusi Parlimen, sekali gus akan menghapuskan Majlis Raja-Raja, menukar Perlembagaan serta mewujudkan sistem presiden.
“Apa yang didakwa oleh pimpinan PAS kawasan Tenggara ini akan menyebabkan rakyat dan penyokong PH panik khususnya orang Melayu.
“Jadi, kita harap polis dapat menyiasat dan ambil tindakan tegas supaya tiada lagi pihak yang berani mengeluarkan kenyataan dan dakwaan seperti itu,” katanya .
Sementara itu, Fadhli Umar Aminolhuda yang juga ketua perundangan jentera PH PRK Pulai dan Simpang Jeram, berkata pihaknya akan sentiasa memantau sebarang isu 3R yang dimainkan Perikatan Nasional (PN) sepanjang PRK ini.