Teknologi

Warga sekolah pendalaman Keningau dapat kemudahan Starlink

Sebuah lagi unit peranti satelit Starlink telah dipasang bagi memudahkan pelajar pendalaman mendapat akses kepada internet.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil menerusi hantaran di Facebook beliau memaklumkan, peranti itu dipasang di Sekolah Kebangsaan (SK) Malaing, Keningau di Sabah, yang sebelum ini berdepan dengan masalah telekomunikasi yang teruk.

“Insya-Allah saya akan teruskan lagi usaha untuk memastikan 100 peratus kawasan berpenduduk mempunyai akses internet. Kini masih berbaki tiga peratus,” katanya
.
Fahmi turut berkongsikan hantaran video oleh Guru Besar SK Malaing Denis Gapilit.

Menurut Denis, dengan adanya capaian internet itu, guru-guru, murid dan komuniti am, khususnya yang berada di sekitar sekolah itu dapat menerima manfaat .

“Perkhidmatan internet Starlink ini akan memudahkan guru-guru melaksanakan pembelajaran dan pengajaran (PdP) secara dalam talian, yang memang sekarang ini sedang diguna pakai di seluruh Kementerian Pendidikan Malaysia, begitu juga dengan murid-murid

“Perkhidmatan ini akan memberi peluang kepada murid-murid untuk mengakses data-data yang terdapat di dalam (sistem) pembelajaran secara dalam talian,” katanya dalam video berdurasi 58 saat, yang turut memaparkan pemasangan peranti itu di atas bumbung dewan serba guna sekolah berkenaan.

Sebagai rekod, Perdana Menteri pada 15 Julai lalu berkata, kerajaan bercadang menggunakan peranti satelit Starlink untuk menaik taraf kemudahan capaian Internet agar lebih luas terutama bagi memudahkan proses pembelajaran.

Susulan itu pada Julai lalu, Anwar Ibrahim menyerahkan unit peranti satelit Starlink pertama kepada Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi digunakan kampus Kuala Pilah sekaligus menjadikannya institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama di negara ini yang akan mengguna pakai teknologi berkenaan.

Unit kedua peranti tersebut di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah dipasang pada 11 Ogos lalu disusuli beberapa kawasan lain.

Dalam pada itu, Fahmi berkata kerajaan sedia bekerjasama dengan penyedia perkhidmatan Internet satelit termasuk Starlink ke arah mencapai 100 peratus akses Internet di kawasan berpenduduk.

Menurutnya, ketika ini 97 peratus kawasan berpenduduk di Malaysia mempunyai akses Internet, manakala baki tiga peratus pula disebabkan isu geografi lokasi seperti kawasan pedalaman atau pulau terpencil yang menjadi cabaran kepada pembinaan rangkaian

Related Articles

Back to top button