Fahmi Fadzil saman 3 individu termasuk Papagomo kerana memfitnah
Tiga individu termasuk blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo dikenakan tindakan saman oleh Menteri Komunikasi dan DIgital (KKD), Fahmi Fadzil atas dakwaan memfitnah.
Peguam Asheeq Ali Sethi Alivi, yang mewakili Fahmi dipetik laporan Bernama berkata, turut disaman adalah penceramah bebas Dusuki Rani serta pemilik dan pemilik akaun Facebook “N13 Kuang”, Mohd Fauzan Madzlan.
Tindakan saman itu dibuat susulan dakwaan memfitnah kononnya Fahmi yang juga Ketua Penerangan KEADILAN memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa plaintif menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.
Dakwa plaintif, kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos, manakala di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai lepas bertujuan memburukkan nama baiknya demi mendapatkan publisiti murahan atau mewujudkan sensasi dalam arena politik negara selain menjejaskan reputasinya sebagai Ahli Parlimen dan anggota Jemaah Menteri.
Menurut Fahmi, kenyataan fitnah dilontar individu tersebut adalah tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor (Mais) telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.
Menurut plaintif, pihaknya telah telah menghantar surat tuntutan bagi ketiga-tiga individu itu menarik balik kenyataan fitnah berkenaan, membayar ganti rugi dan menyiarkan permohonan maaf kepada plaintif, namun sehingga kini mereka gagal berbuat demikian.
Fahmi mendakwa tiga defendan itu masih mengekalkan kenyataan fitnah berkenaan dalam laman sosial mereka.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan, dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.
Plaintif juga menuntut agar tiga defendan itu membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah berkenaan melalui akaun laman sosial mereka dan semua media massa dan media atas talian dengan kandungan permohonan maaf harus dipersetujui terlebih dahulu oleh plaintif.
Difahamkan, kes saman terhadap Dusuki dan Fauzan ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nur Shasha Hidayah Nor Azahar pada 5 Okt ini .
Manakala kes membabitkan Muhammad Azri pada 9 Okt di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Aisyaf Falina Abdullah.