KKDW komited perkasa ekonomi luar bandar, termasuk di komuniti Orang Asli
Kerajaan Perpaduan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) komited memperkasa ekonomi luar bandar , kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga menteri KKDW berkata, langkah tersebut bagi menjana pendapatan penduduk setempat menerusi aktiviti antaranya pelancongan desa dan pertanian campur.
“Nilai pasaran halal global yang mencecah $AS3.3 trilion membuka ruang dan peluang kepada usahawan untuk mengetengahkan produk mereka setara dengan produk antarabangsa.
“KKDW berperanan secara efektif membimbing usahawan luar bandar supaya produk mereka dapat dinaiktaraf dan boleh dipasarkan ke peringkat global,” jelasnya.
Beliau menghadiri Sesi Libat Urus Belanjawan 2024 Bersama Pemain Industri Dan Pihak Berkepentingan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya pada Khamis.
Dalam program sama, Ahmad Zahid menegaskan usaha mempertingkatkan prasarana luar bandar juga turut dibuat dengan menaiktaraf kehidupan penduduk terutamanya di Sabah, Sarawak dan Orang Asli.
ia dilaksana menerusi pembinaan serta membaik pulih ameniti sosial selain menambah cakupan telekomunikasi dan membina rumah rakyat termiskin.
Selain itu, usaha melahirkan Tekno Huffaz serta pekerja berkemahiran tinggi dibuat menerusi pendekatan ‘perkongsian pintar’ antara institusi seperti MIAT dan TVET MARA dengan syarikat swasta bagi mempermudah penempatan pekerja berkemahiran.
Majlis Libat Urus Bajet 2024 itu turut dihadiri pemain industri termasuk persatuan perniagaan, dewan perniagaan koperasi, para usahawan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan ahli akademik untuk memberikan input terbaik bagi mencapai objektif membantu masyarakat desa.
Segala maklum balas dan cadangan diterima akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan dijadikan input kepada Belanjawan 2024.