Semasa

LCS: Mindef sedia kerjasama dengan PAC

Kementerian Pertahanan (Mindef) sentiasa komited untuk memberi kerjasama berhubung maklumat projek kapal tempur pesisir (LCS) kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, berkata kementerian menyerahkan segalanya kepada PAC kerana ia merupakan komitmen Mindef, tidak kira sama ada menerusi Parlimen mahupun PAC.

“Kita tahu bahawa projek itu diteruskan dan mana-mana pihak yang ingin dapatkan maklumat, kita di Mindef sentiasa berikan kerjasama,” katanya.

Adly ditemui pemberita selepas merasmikan program Cakna Sains, Teknologi dan Inovasi (ST&I) Pertahanan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang, pada Khamis.

Beliau berkata begitu sebagai mengulas kenyataan Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang sebelum ini berkata pihaknya akan memanggil Mindef bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kemajuan projek pembinaan LCS bagi bulan Jun hingga September tahun ini.

Sementara itu ketika menyentuh mengenai program ST&I Pertahanan yang diadakan itu, Adly berkata ia selaras dengan Kertas Putih Pertahanan yang menzahirkan iltizam kerajaan untuk memperkasakan dan merangsang budaya penyelidikan dan inovasi termasuk dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

“STRIDE juga menganjurkan Pertandingan Inovasi Pertahanan bertemakan Tentera Masa Hadapan bagi mencungkil bakat pelajar dalam mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi untuk hasilkan projek berimpak tinggi,” katanya.

Sebanyak 47 sekolah di seluruh negara menyertai Pertandingan Inovasi Pertahanan bertemakan Tentera Masa Hadapan itu yang bermula pada 24 Mei lalu dan pertandingan akhir bakal diadakan di Melaka International Trade Centre, Melaka pada 9 Nov ini.

Related Articles

Back to top button