Pengguna tak perlu panik, stok simpanan beras negara mencukupi- KPKM
Bagi mengatasi gangguan bekalan beras putih tempatan (BPT), kerajaan pada Khamis menetapkan bahawa setiap individu dan peniaga hanya dibenarkan membeli maksimum 10 beg beras putih tempatan 10kg, bersamaan dengan 100kg.
Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Azman Mahmood menjelaskan bahawa had itu dilaksanakan sebagai tindak balas kepada pembelian beras putih yang berlebihan.
“Kita dapati ada peniaga-peniaga yang membeli beras putih dalam satu masa dalam 500 ke 700 kampit.
“Sebab itu kita buat sekatan setiap orang hanya boleh membeli 10 kampit beg 10kg ataupun 100 kilo,” katanya kepada pemberita semasa sidang media selepas sesi dialog sektor padi dan beras Belanjawan 2024 di Serdang yang turut dihadiri menteri KPKM, Mohamad Sabu.
Menurut Azman, sekatan itu dikuatkuasa mengikut Peraturan-peraturan 10(1)(b) Peraturan-peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan, Pemborong dan Peruncit) dan akan kekal berkuat kuasa sehingga kenaikan harga beras putih yang diimport menjadi stabil.
Selasa lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata peningkatan mendadak terhadap beras tempatan kebelakangan ini menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan di beberapa lokasi tertentu.
Ia berpunca pelarasan harga jualan beras putih import berkuat kuasa 1 Sept lalu diumumkan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) menyaksikan harganya meningkat di pasaran.
Sementara itu, Azman menegaskan pemeriksaan dijalankan dibawah Op Jamin mendapati penukaran kampit beras tempatan kepada beras import seperti didakwa sesetengah pihak tidak berlaku.
“Walaupun (segelintir dakwaan) dibuat di TikTok, tetapi mereka tidak membuat aduan rasmi kilang dan lokasi ia berlaku,” katanya yang menegaskan tindakan akan diambil terhadap pihak membuat dakwaan tanpa bukti sehingga menyebabkan berlakunya pembelian panik dikalangan orang awam.
Selain itu, Azman menjelaskan bahawa simpanan beras Malaysia bersamaan dengan nilai sebulan setengah, dan negara juga mengekalkan stok dagangan yang boleh bertahan sehingga 6 bulan.
Rakyat jelasnya tidak perlu gusar kerana stok dagangan cukup untuk bertahan sehingga Aidilfitri tahun depan dan stok simpanan itu hanya akan diambil dalam keadaan kecemasan.