Politik

Perjuangan Pas hari ini tak lagi releven- bekas ADUN

Impian parti Pas mahu merampas kerusi DUN Simpang Jeram yang disandang Parti Amanah Negara (AMANAH) dianggap sebagai perjuangan sia-sia.

Dr Sheikh Ibrahim Sheikh Salleh, bekas ADUN Pas Sungai Abong, nama lama bagi DUN Simpang Jeram berkata Pas tidak lagi releven terutama di kawasan yang pernah diwakilinya selama dua penggal itu kerana perjuangan ‘Pas untuk semua’, yang mesra masyarakat bukan Islam kini sudah berkubur selepas bekas Mursyidul Am, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia.

“Dulu PAS sesuai dengan jiwa saya, masa itu perjuangan kita mesra kepada masyarakat bukan Islam, bila ada ‘Pas For All’. Itu slogan yang dapat sambutan daripada masyarakat Cina, India, luar biasa yang kita tak jangka, sangat sesuai dengan perjuangan saya.

“Bagaimanapun, apabila Tan Sri Nik Abdul Aziz meninggal, slogan itu mati.

“Jadi PAS yang tinggal ini sedikit ekstrem dan hari ini nampak lebih ekstrem lagi dengan macam-macam isu Melayu, agama, Raja (3R) dimainkan. Ini sudah tentulah tidak sesuai di Simpang Jeram,” katanya dipetik laporan Bernama.

Sementara Sheikh Ibrahim mengakui perjuangan AMANAH lebih sesuai dengan situasi masyarakat semasa, lebih terbuka dan lebih bersederhana sesuai dengan konsep ‘Rahmatan Lil Alamin’.

Menurutnya lagi, hasrat PAS yang mahu melahirkan doktor kedua, iaitu kemenangan calon berlatarbelakangkan perubatan di Simpang Jeram melalui pendekatan kempen calon Perikatan Nasional (PN) merawat dan mendekati pengundi sakit, hanya gimik bagi meraih undi semata-mata.

“Ini kerana saya doktor dan anak tempatan di sini, berkhidmat di sini dari mula saya bertugas pada 1980-an hingga hari ini. Walaupun saya sudah bersara, saya doktor berkhidmat dan calon berkhidmat memberi rawatan kepada penduduk di sini sepanjang jadi ADUN.

“Calon PN ini berkhidmat semasa berkempen sahaja, beza berkhidmat semasa kempen untuk menarik pengundi. Dia pernah bertanding di sini pada 2018, kalau niat nak berkhidmat di sini, dia akan bertanding lagi pada 2022, tapi mana nampak dia punya keikhlasan, lepas kalah lari,” dakwanya.

Related Articles

Back to top button