PM Anwar bangkitkan isu penindasan Palestin dalam Sidang Kemuncak ASEAN
Malaysia merupakan satu-satunya negara yang tegas menyuarakan pandangan mengenai penindasan berterusan Israel ke atas rakyat Palestin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu penindasan berlarutan sejak 75 tahun itu telah bangkitkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN-43 bersama negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, Rusia, China dan Korea, Kanada, dan Australia, selain Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berkata, Malaysia harus konsisten menyuarakan pandangan mengenai Palestin, memandangkan dunia seolah-olah hanya mengambil berat tentang konflik peperangan di antara Ukraine dan Rusia.
“Dan itu saya tekankan kepada semua negara yang mendengar. Sementara AS, China, Jepun, Korea dan semua termasuk Kanada dan Australia suarakan atau membantah serangan Rusia ke atas Ukraine, tapi kelu membisu dan tidak mengesankan apabila menyentuh atau menyinggung soal Palestin.
“Kita suarakan dengan tegas, perlu hormat hak rakyat Palestin khususnya nilai kemanusiaan, hak asasi dan Sebagainya,” katanya pada sidang media selepas selesai Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 di Jakarta, pada Khamis.
Sementara itu Anwar turut berkata, Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir akan mengambil inisiatif mengadakan sidang khas Malaysia dengan negara-negara Islam dan Eropah di New York khusus bagi membincangkan situasi di Palestin.
Sidang khas itu akan diadakan semasa mereka menghadiri Perhimpunan Agung PBB (UNGA) yang akan berlangsung pada 19 September nanti.
Anwar dalam pada itu turut memberitahu media bahawa beliau menyahut permintaan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan, agar dianjurkan persidangan khas # bagi membincangkan isu berkaitan peningkatan sikap pelampau perkauman dan agama.
“Turki telah meminta saya membantu anjurkan pertemuan dengan wakil lebih kurang sama di New York, bagi menentang sikap pelampau perkauman dan sentiment anti agama yang disebut Islamofobia, sikap kebencian terhadap agama, khususnya Islam.
“Dan Presiden Erdogan bersetuju dengan saya untuk menganjur pertemuan ini, dan kalau boleh kita akan perluaskan kepada negara-negara Islam dan negara lain,” tambahnya.