Anwar

Tiada arahan dikeluarkan kepada AGC berhubung kes Zahid – PM Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah campur tangan dan memberi sebarang arahan kepada bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun berhubung keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Katanya selaku Perdana Menteri beliau tahu kesan daripada keputusan yang dibuat oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap kestabilan politik dan negara tetapi akur dengan penjelasan Idrus yang tidak mahu melepaskan tanggungjawab dalam menguruskan kes itu kepada penggantinya.

“Saya nak jelaskan tidak ada arahan kepada peguam negara. Dia terlibat dalam meneruskan pendakwaan, kemudian dia baca dokumen bocor yang ditulis oleh AGC yang menyatakan tak bersetuju dengan pendakwaan.

“Beberapa fakta baharu (setebal) 200 halaman dikemukakan. Tentunya sebagai Perdana Menteri, saya tahu kesan daripada tuduhan yang dilemparkan susulan keputusan tersebut, malah saya terpaksa tanya panjang lebar kepada peguam negara kenapa keputusannya begitu serta kenapa sekarang?” katanya ketika ditemui selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Seri Petaling dekat Kuala Lumpur, hari ini.

Berhubung pelbagai polemik timbul ekoran keputusan DNAA terhadap Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri itu, Anwar menjelaskan, beliau juga meminta penjelasan lanjut daripada Peguam Negara pada waktu itu.

Susulan polemik yang berlaku, Perdana Menteri tidak menuding untuk menyalahkan rakyat yang sebenarnya ingin penjelasan lanjut mengenai keputusan terbabit.

“Tapi kalau kita baca 11 perkara yang dibentangkan di hadapan hakim dan hakim berpuas hati. Orang kata salahkan hakim atau nak bebankan hakim, tak ada. Itu proses begitu rupa. Itu saja yang saya boleh sebut dalam kes ini.

“Saya tak fikir ini adil untuk jatuhkan hukuman kerana suka atau tak suka terhadap orang politik. Semua kes berbeza tapi banyak kes yang terlepas, sama ada sebelum perbicaraan atau selepas perbicaraan. Tapi bersabar dan baca.

“Jangan dengar tohmahan orang politik ini. Kadang-kadang dia ini ikut sedap kata saja. Jadi saya syorkan baca ketetapan daripada AG di hadapan hakim dan mengapa hakim kemudian bersetuju dengan usul. Ada yang mengatakan hakim tak ada pilihan. Itu tak benar,” katanya.

Terdahulu, Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Zahid pada peringkat itu.

Related Articles

Back to top button