Umum

Dr Wan Azizah terima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Unisel

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Sains Politik dan Kemasyarakatan Universiti Selangor (Unisel).

Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak menerima anugerah berkenaan daripada Canselor Unisel, Raja Tan Sri Arshad Alhaj Raja Tun Uda Alhaj sempena Istiadat Konvokesyen Unisel Kali Ke-17.

Dr Wan Azizah berkata, anugerah itu merupakan satu pengiktirafan bukan hanya kepada beliau tetapi kepada semua yang membantunya dan ahli keluarga sepanjang mengharungi pelbagai cabaran dalam bidang politik atau kehidupan peribadi.

“Saya telah berpeluang menabur bakti sebagai seorang doktor, merawat pesakit daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kemudian menceburi bidang politik.

“Kedua-dua bidang ini memerlukan sokongan dan kepercayaan rakyat untuk berkhidmat,” kata beliau ketika berucap pada istiadat konvokesyen berkenaan di Unisel Kampus Bestari Jaya, hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Naib Canselor Unisel, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman berkata penganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah kepada Dr Wan Azizah adalah sebagai pengiktirafan ke atas sumbangan besar beliau terhadap negara dan universiti berkenaan.

“Semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah telah merasmikan Persidangan Kebangsaan Wanita dan Kanak-Kanak, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial di Unisel pada Ogos 2018 yang antara lain memfokuskan kepentingan menjaga kebajikan kanak-kanak.

“Ia amat dekat dengan portfolionya ketika itu iaitu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan kehadiran beliau menceriakan warga kampus apabila turut menyantuni warga Unisel dengan penuh ramah serta mesra,” katanya ketika berucap pada istiadat hari ini.

Seramai 1,306 graduan diraikan pada Istiadat Konvokesyen Unisel kali Ke-17 yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini terdiri daripada 582 graduan peringkat diploma, 670 graduan peringkat ijazah sarjana muda, 36 graduan ijazah sarjana, 18 graduan peringkat kedoktoran.

Related Articles

Back to top button