RMKe-12: Dasar bakal dibentangkan mencakupi keperluan semua pihak

Dasar dan inisiatif yang bakal diumumkan semasa pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) di Dewan Rakyat tidak akan hanya berdasarkan pandangan kementerian-kementerian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, dasar dan inisiatif berkenaan juga akan berpandukan kepada permasalahan, keperluan dan keutamaan rakyat, komuniti perniagaan serta kesemua negeri.
“KSP RMKe-12 adalah satu lagi tindakan Kerajaan dalam menjelmakan agenda Ekonomi MADANI yang saya usulkan.
“Ia adalah dokumen kebijakan yang signifikan dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara yang seimbang dari segi pemikiran, spiritual dan material berteraskan nilai-nilai MADANI.
“Saya yakin KSP RMK12 ini akan dapat memacu pertumbuhan Malaysia yang lebih seimbang dan mapan di masa hadapan,” katanya menerusi catatan di Facebook malam ini.
Perdana Menteri sebelumnya menerima dokumen KSP RMK-12 daripada Menteri Ekonomi Rafizi Ramli sebagai simbolik sempurnanya sesi penyediaan dokumen Kajian Separuh Penggal RMKe-12 oleh Kementerian terbabit.
Beliau dijangka akan membentangkan kajian itu ke Dewan Rakyat pada Isnin hadapan.