Nasional

Agong mahu rakyat hidup harmoni, bersatu hati

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini meminta rakyat supaya menjalani kehidupan secara harmoni dan bersatu hati antara satu sama lain.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian sebelum berkenan berangkat meninggalkan Pesta Keramaian Bersama Rakyat di Pantai Bungai, Bekenu, di Sarawak sempena Kembara Kenali Borneo.

“Duduk baik-baik, aman damai dan harmoni semuanya. Kena sokong kerajaan atas (pentas) ini, senang hendak buat pembangunan dan kemajuan.

“Saya tak mahu cakap politik. Saya hanya mahu cakap tentang kasih sayang sahaja. Saya Agong untuk rakyat Sabah dan Sarawak dan semua. Perlu bersatu hati, bersatu padu,” titah Seri Paduka.

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berangkat pada pesta keramaian yang dianjurkan sempena Kembara Kenali Borneo yang memasuki hari kelapan, hari ini.

Berangkat sama ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan paduka anakanda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Esok, Kembara Kenali Borneo akan meneruskan pengembaraan dengan mengadakan persinggahan di Sibu, Sri Aman dan Kuching sebelum ke Telok Melano, di selatan Sarawak pada 13 September.

Kembara Kenali Borneo telah menyambung semula penjelajahan ke Sarawak menerusi Miri dengan beberapa acara dianjurkan untuk meraikan keberangkatan Seri Paduka berdua bersama delegasi, semalam.

Kembara Kenali Borneo untuk merealisasikan impian Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak, mengakhiri pengembaraan di Sabah, pada Khamis sejak ia bermula pada 3 September lepas.

Penjelajahan selama 11 hari itu membabitkan perjalanan jarak sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo yang menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.

Related Articles

Back to top button