Politik

DAP ambil pendekatan sederhana laksana dasar politik – Setiausaha Agung DAP

Parti Tindakan Demokratik (DAP) memberi jaminan kepada Umno, bahawa parti itu akan sentiasa mengambil pendekatan sederhana dalam melaksanakan dasar dan keputusan politik berpaksikan Perlembagaan Persekutuan.

Jaminan itu disuarakan Setiausaha Agungnya, Anthony Loke, selain menegaskan DAP hanya mengambil pendekatan politik berasaskan ideologi sosial demokrasi.

“Saya nak beritahu kepada rakan baharu daripada Barisan Nasional (BN) khususnya Umno bahawa DAP akan sentiasa mengambil pendekatan sederhana dalam dasar kita, keputusan kita dan dalam politik kita.

“Kami (DAP) adalah ‘center left’ (pertengahan kiri), DAP berpaksikan kepada Perlembagaan Persekutuan, termasuk perjuangannya dan objektifnya.

“Jadi tak perlu ada kebimbangan dalam kalangan masyarakat Melayu terhadap DAP kerana perjuangan parti ini pertamanya mengikut lunas undang-undang, kita pertahankan Perlembagaan Persekutuan dan berlandaskan prinsip Rukun Negara,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Persidangan DAP 2023 di Putrajaya, hari ini.

Persidangan DAP kali ini turut mencatatkan sejarah apabila untuk pertama kalinya ia dihadiri oleh Presiden Umno yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Loke berkata, sudah tiba masa untuk semua parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan turut sama mengambil pendekatan sederhana bagi memastikan kerajaan terus menjadi dukungan dan pilihan majoriti rakyat.

Jelasnya, pendekatan politik sederhana itu boleh menjadi kuasa besar yang mampu menewaskan politik ekstrem pihak lawan.

“Sekali lagi saya mengulangi bahawa tidak salah untuk DAP mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang mana prinsip jelas berkenaan isu sensitif ditakrifkan iaitu Islam agama Persekutuan tetapi kebebasan agama untuk ajaran lain sentiasa dipertahankan.

“Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tetapi tidak melarang bahasa lain diamalkan, kedudukan Perkara 153 (hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera) serta kedudukan institusi Raja-Raja Melayu, memang tidak menjadi pertikaian,” katanya.

Dalam pada itu, tegasnya, Malaysia tidak boleh dipimpin oleh pemimpin yang mengamalkan pendekatan ekstrem.

Katanya, Kerajaan Perpaduan yang didukung 19 parti politik adalah satu-satunya pilihan untuk memastikan Malaysia bangkit semula dan mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi serta sosial.

“Ini adalah satu-satunya kerajaan inklusif dan benar-benar mewakili aspirasi seluruh rakyat Malaysia.

“Misi dalam Kerajaan Perpaduan ialah memastikan perpaduan ini berjaya kerana bagi DAP, kerajaan inilah satu-satunya pilihan untuk memastikan Malaysia bangkit semula dan membina semula negara kita,” katanya.

Related Articles

Back to top button