ekonomi

Dokumen kajian RMKe-12 rangkumi anjakan dasar selaras situasi ekonomi

Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe-12) yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Isnin ini bakal merangkumi 17 anjakan dasar atau pendekatan radikal selaras dengan situasi ekonomi semasa.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dipetik satu program bersama Bernama TV pada Sabtu berkata anjakan-anjakan tersebut akan memberikan cara keluar daripada masalah yang sudah timbul dalam Rancangan Malaysia sebelum ini.

“Kita selalu bercakap tentang negara terperangkap seperti (keadaan) ekonomi lemah, nilai rendah serta pergantungan kepada pekerja asing dan masalah ini berulang-ulang dan dasar yang digunakan sebelum ini ialah dasar yang pada pandangan saya tidak cukup radikal.

“Oleh itu, anjakan (yang bakal dibentang) adalah pendekatan yang radikal yang diambil oleh kerajaan untuk mengatasi setiap masalah-masalah utama dalam struktur ekonomi negara kita,” katanya dipetik.

KSP RMKe-12 disediakan bagi mengukur pencapaian pada 2021-2022, serta hala tuju 2023-2025 ke arah mencapai negara mampan, sejahtera dan berpendapatan tinggi dengan mengambil kira cabaran domestik dan trend global semasa.

Rafizi pada Jumaat menyerahkan dokumen kajian itu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai simbolik sempurnanya sesi penyediaan dokumen Kajian Separuh Penggal RMKe-12.

Sementara itu Rafizi ketika mengulas lanjut mengenai kajian itu menambah, anjakan tersebut akan diselaraskan bukan semata-mata mengikut kehendak Kerajaan Persekutuan tetapi mengambil kira padangan semua industri serta pemegang taruh selain mengambil kira kepada kemampuan kewangan negara, ketersediaan kemahiran serta penerimaan rakyat Malaysia.

“Pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga adalah merupakan salah satu anjakan besar yang telah kerajaan laksanakan sebelum pembentangan KSP. Dan melihat kepada kerja rumah yang dilakukan Kementerian Ekonomi dan pihak terlibat adalah cukup baik dari segi penerimaannya.

“Kita ada iltizam yang besar untuk berubah kerana masalah ini berlarutan lama dan mandat yang ada ini sebaiknya diteruskan dengan pembaharuan radikal.

“Kalau pun ada yang mungkin tidak selesa, saya yakin selepas dua dan tiga tahun kita boleh lihat kesannya dan industri serta orang ramai akan memahami dan menerima ajakan ini,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button