Negeri

Formula agihan 40% hasil Sabah dimuktamad Julai depan

Kerajaan Persekutuan dilapor telah menyatakan persetujuan agar pelaksanaan formula 40% pemberian hasil Sabah dimuktamadkan menjelang Julai tahun depan.

Perkara itu dimaklumkan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Ewon Benedick selepas menghadiri Konvensyen Nasional parti itu di Kota Kinabalu pada Sabtu.

Ewon, yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi berkata perkara itu dapat dicapai menerusi penyertaan pemimpin Sabah dalam Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ini telah diputuskan dalam Jawatankuasa Teknikal MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri (Fadillah Yusof). Saya juga adalah sebahagian daripada anggota dan keputusan mesyuarat menyatakan dalam tempoh satu tahun ini, kita perlu memuktamadkan mekanisme pelaksanaan 40% itu.

“Satu jawatankuasa kerja telah ditubuhkan dan dipengerusikan oleh (Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Armizan Mohd Ali untuk merangka mekanismenya sebelum dibawa semula kepada majlis. Sebab itu ada garis masa. Kalau kita buat keputusan tiada garis masa, itu mencabar.

“Sebab itu bila berada dalam Kabinet, menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan garis masa ini dapat dipenuhi,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu beliau turut menjelaskan, dibawah pentadbiran kerajaan sedia ada, nilai pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan juga ditambah baik dan kerajaan menurutnya akan mengeluarkan warta baharu mengenai perkara itu.

Menyentuh mengenai kerjasama politik di Sabah, beliau turut memberitahu, UPKO yang merupakan sebahagian dari Pakatan Harapan (PH) akan memfokus kepada usaha memperkasa kerjasama antara parti politik yang menyokong Kerajaan Perpaduan di Sabah.

Related Articles

Back to top button