Semasa

Hannah saran TVET ditambah baik, sediakan kursus hujung minggu

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yoeh menyarankan supaya program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ditambah baik dengan menyediakan kursus pada hujung minggu.

Jelasnya, dengan penstrukturan semula program itu, ia akan meningkatkan jumlah peserta dalam kalangan pekerja sepenuh masa yang ingin meningkatkan kemahiran melalui program TVET.

“Banyak kementerian melakukan perkara sama serta menyediakan pakej serupa kepada khalayak yang sama namun kebanyakan mereka berpaling daripada TVET dan beralih kepada ekonomi gig,” katanya.

Berucap pada majlis pelancaran Pameran Kerjaya dan Latihan Malaysia (MCTF) di Pusat Pameran Mid Valley (MVEC), Kuala Lumpur pada Sabtu, beliau turut mahu semua isyarat itu diambil serius bagi memastikan dana dikeluar kerajaan untuk menjayakan program TVET benar-benar memberi manfaat.

Sementara itu, ketika mengulas penganjuran MCTF yang akan berakhir hari ini beliau menyifatkan ia penting kerana lebih banyak data dapat dikumpul bagi membantu memahami isu berkait peluang pekerjaan di kalangan generasi muda.

Tambahnya, petunjuk penting bagi pengambilan belia sebagai tenaga kerja bukan hanya bergantung kepada kadar pengangguran tetapi harus berdasarkan data.

“Saya menghargai inisiatif seperti ini (pameran kerjaya) kerana lebih banyak ia dianjurkan maka lebih banyak data yang akan kami miliki,” katanya.

MCTF menampilkan lebih 200 pempamer yang terdiri daripada majikan, penyedia latihan, universiti dan kolej untuk mengetengahkan jenama mereka serta bertemu calon berpotensi.

Related Articles

Back to top button