Pilihanraya

Kemenangan selesa di PRK Pulai dan Simpang Jeram bukti rakyat sokong Kerajaan Perpaduan – Guan Eng

Sokongan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuktikan kemenangan majoriti selesa pada dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Johor, kata Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Dalam ucapan pembukaan Kongres Kebangsaan DAP, Lim berkata Kerajaan Perpaduan bukan sahaja mengekalkan majoriti dua pertiga Parlimen dengan kemenangan di Pulai, malah menghancurkan keyakinan Perikatan Nasional (PN) menguasai DUN Simpang Jeram.

“Bagi parti DAP, saya begitu bangga bahawa di bawah pimpinan Setiausaha Agung kita, Anthony Loke (Loke Siew Fook) dengan memenangi 46 daripada 47 kerusi DUN yang dipertandingkan dalam PRN baru-baru ini dan juga membantu kemenangan besar semalam di Johor dengan sokongan lebih 90 peratus daripada masyarakat bukan Melayu.

“Tentu sekali PN sebagai pakar fitnah akan memutar-belitkan kekalahan mereka sebagai suatu kemenangan kerana undi dah bertambah.

“Saya nak ingatkan PN bahawa mereka pernah sebut PRN enam negeri adalah referendum rakyat terhadap pimpinan Perdana Menteri,” katanya.

Terdahulu, PH mempertahankan Parlimen Pulai menerusi Suhaizan Kayat dengan majoriti 18,641 undi manakala Nazri Abdul Rahman di DUN Simpang Jeram memenangi majoriti 3,154 undi.

Beliau berkata, undi popular dimenangi PH dan Barisan Nasional dengan 49.5 peratus berbanding 49.3 peratus memihak PN.

“Perkara pokoknya ialah rakyat Malaysia tolak PN dan kita harus bina kemenangan di Johor sebagai satu landasan untuk memenangi balik semula kawasan PN.

“Kita tidak akan terikut-ikut dengan permainan kotor politik parti lawan yang memainkan sentimen kaum dan ekstremisme,” katanya.

Lim berkata, DAP harus mendedahkan politik fitnah, adu domba, kebencian, momokan, dan ugutan yang memecah belahkan rakyat tanpa manfaat kepada sesiapa pun.

“Jangan percaya serigala politik yang bertopengkan negarawan berprinsip atau orang muda yang mendukung politik lama dan yang penuh dengan hasad dengki semata-mata nak balas dendam.

“Rakyat sokong Kerajaan Perpaduan yang cekap uruskan ekonomi dan kos sara hidup. Takkan rakyat nak jadi mundur macam negeri-negeri yang ditadbirkan mereka sampai air bersih pun tiada,” katanya.

Pada masa yang sama, Guan Eng turut mengingatkan ahli parti bahawa tiada orang yang lebih besar daripada parti itu.

“Jangan lupa juga bahawa anda mesti akur kepada setiap keputusan parti.

“Jangan ingat anda lebih besar daripada parti kerana tanpa parti anda tidak berpeluang memegang jawatan kerajaan.

“Barulah parti yang berdisiplin dan bersatu boleh terus jadi teguh dan kuat yang boleh jaminkan kemenangan dalam PRU-16,” katanya.

Related Articles

Back to top button