Anwar

Keputusan PRK di Johor tunjuk rakyat yakin terhadap usaha Kerajaan Perpaduan – PM Anwar

Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram disifatkan sebagai satu perkembangan positif untuk Kerajaan Perpaduan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran ringkas di Facebook berkata, sokongan itu juga menunjukkan bahawa rakyat yakin terhadap usaha Kerajaan Perpaduan dalam membangun negara.

“Keputusan ini ternyata suatu perkembangan yang positif bagi Kerajaan Perpaduan dalam memastikan agenda pembangunan dan ekonomi rakyat dapat terus dijayakan.

“Penghargaan saya buat semua pengundi yang yakin terhadap usaha Kerajaan Perpaduan dalam membangun negara,” katanya.

Pada masa sama, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua calon PH-BN yang berjaya mengekalkan kemenangan di kedua-dua kawasan tersebut.

“Tahniah saya ucapkan kepada saudara Suhaizan Kayat dan (Ir) Nazri Abdul Rahman yang memenangi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram,” ujarnya.

Terdahulu, PH-BN berjaya mengekalkan penguasaan di Parlimen Pulai apabila calonnya, Suhaizan Kayat, disahkan menang di kerusi berkenaan dengan majoriti 18,641.

Manakala, bagi DUN Simpang Jeram, calon PH-BN, Nazri Abdul Rahman turut melakar kejayaan apabila meraih 13,844 undi menewaskan calon Perikatan Nasional, Dr. Mohd Mazri Yahya yang mendapat 10,330 undi, manakala S Jegananthan mewakili Bebas hanya meraih 311 undi.

Related Articles

Back to top button