Nahas N28JV: MOT bakal dedah laporan siasatan awal Jumaat depan
Kementerian Pengangkutan (MOT) dijangka akan mengeluarkan laporan awal nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu pada Jumaat depan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, laporan itu adalah mengenai analisis data rakaman suara selama 30 minit daripada ‘memory puck’ dalam perakam suara kokpit (VCR) pesawat berkenaan.
“Kita akan keluarkan laporan awal pada Jumaat ini, 15 September,” katanya kepada media selepas merasmikan Kongres Wanita DAP di grand Centro Ballroom, di Klang pada Sabtu.
Terdahulu,alat perakam suara itu dibawa ke Singapura selepas negara ini tidak mempunyai peralatan khas bagi mengekstrak maklumat yang tersimpan.
Bagaimanapun, kerosakan teruk komponen itu, terpaksa dibawa kembali ke kilang pembuatannya di Amerika Syarikat bagi mendapatkan rakaman terbabit.
Dalam nahas pada jam 2.48 petang 17 Ogos lalu, 10 individu disahkan maut termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Insiden turut mengorbankan dua mangsa yang bukan berada dalam pesawat iaitu penunggang p-hailing Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, dan pemandu e-hailing Sharipudin Shaari, 51, yang melalui kawasan kejadian.
Kesemua mayat dan cebisan anggota badan mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi tujuan bedah siasat dan pengecaman yang mengambil masa hampir tiga hari untuk diselesaikan