Negeri

Selangor siap siaga hadapi fenomena air pasang besar

Kerajaan Negeri Selangor bakal merangka satu dasar baharu berhubung rancangan pembangunan di kawasan pesisir pantai di negeri itu.

Exco Infrastruktur dan Pertanian Izham Hashim berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan (NAHRIM) dan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin bagi merangka dasar tersebut yang turut akan mengambil kira aspek kenaikan paras air laut yang dijangka memberi kesan besar selepas ini.

Selain itu jelasnya, dasar tersebut kelak akan diselaraskan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan mengambil kira aspek tersebut

“Saya telah bermesyuarat menerusi inisiatif Skim Jaminan Air Mentah (SEJAM) untuk melihat kesan jangka panjang kenaikan paras air laut yang dijangka beri kesan besar kepada kawasan pesisir pantai kita termasuk di Klang,” katanya selepas menghadiri satu program di Shah Alam semalam.

Beliau sebelumnya diminta mengulas persediaan oleh kerajaan negeri bagi menghadapi fenomena air pasang besar terutama pada hujung tahun.

Sementara itu mengulas lanjut, Izham turut memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti kawasan yang kerap berlaku ban pecah ketika fenomena air pasang besar seperti di Sepang dan Hulu Langat.

Bagi tujuan itu, tindakan menggantikan batu granit rock armor dan geo-bag bagi mengukuhkan struktur ban di kawasan terbabit sudah dijalankan.

Sementara itu, Exco Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi berkata kerajaan negeri telah bersiap siaga berhubung fenomena air pasang besar yang kebiasaannya mengakibatkan banjir dengan setiap unit bencana di kesemua PBT sedia digerakkan jika bencana itu berlaku.

Related Articles

Back to top button