Semasa

Isu bekalan beras berpunca dari pengabaian sektor pertanian oleh pentadbiran dahulu – Razeef

Isu berkaitan masalah bekalan beras negara yang memuncak ketika ini didakwa berpunca dari kegagalan pemimpin terdahulu mengambil langkah tepat dalam isu keterjaminan makanan dan infrastruktur asas pertanian.

Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Razeef Rakimin melalui satu kenyataan berkata, langkah menjamin bekalan makanan memerlukan perancangan rapi kerana kesannya akan dirasai untuk tempoh 20 hingga 30 tahun mendatang.

“Sejak era pentadbiran (Dr) Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat, pembangkang telah menyatakan perlunya keseimbangan di antara pembangunan perindustrian dan pertanian.

“Ini setelah beberapa negara maju pada ketika itu terpaksa bergantung kepada bekalan import dan ini sangat merisaukan terutama untuk 20 ke 30 tahun mendatang. Apatah lagi harga bekalan yang diimport diluar bidang kuasa kerajaan untuk kawal.

“Kecenderungan Mahathir yang terlalu fokus kepada perindustrian dan pengabaian kepada sektor pertanian mulai dirasai kesannya terutama permasalahan memenuhi kehendak tempatan,” katanya Razeef.

Pada 2 September lalu, Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) mengumumkan harga beras putih import meningkat 36 peratus iaitu daripada RM2,350 kepada RM3,200 satu tan metrik berkuat kuasa 1 September selari dengan harga global semasa bagi ruji makanan.

Badan tunggal yang mengawal padi dan beras negara itu mengakui berdepan isu bekalan susulan ketidaktentuan pelbagai faktor luaran seperti perubahan iklim, kadar pertukaran mata wang asing yang semakin lemah, kos operasi yang tinggi dan konflik serantau.

“Faktor itu secara kolektif mencetuskan kesan ketara ke atas pasaran dagangan beras global, ditambah lagi dengan kesan larangan pengeksportan beras putih yang diumumkan oleh India baru-baru ini,” kata Bernas sambil memaklumkan akan terus memantau pasaran harga beras antarabangsa dan menyesuaikannya apabila situasi kembali seperti sedia kala.

Sementara itu, Razeef menegaskan, kenaikan harga beras itu berlaku bukan disebabkan kegagalan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagi saya ini merupakan isu global dan bukannya kegagalan pihak kerajaan. Malah harga bahan mentah di negara ini antara terendah jika dibandingkan dengan negara-negara ASEAN lain.

“Di sebalik krisis ini kerajaan masih mampu mengawal harga bekalan selain memastikan ianya mencukupi.

“Saya yakin kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di landasan tepat membawa negara keluar dari pelbagai krisis termasuk krisis bekalan makanan dan krisis ekonomi global,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button