Politik

Kemenangan PRK simbolik penolakan rakyat terhadap politik perkauman – Mujahid

Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram ditakrifkan sebagai simbolik penolakan rakyat terhadap politik toksik berasaskan perkauman.

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, ia juga mencerminkan keengganan rakyat Johor untuk menerima eksploitasi agama yang sering didendangkan blok Perikatan Nasional (PN).

Menurut beliau, lagu fitnah untuk melagakan keharmonian rakyat dan sesama umat Islam ditolak oleh pengundi Pulai dan Simpang Jeram.

“Ia sepatutnya diraikan oleh seluruh rakyat yang mencintai perpaduan dan membenci pemfitnah.

“Syabas, tetapi barang diingatkan bahawa misi mengekalkan momentum Gelombang Perpaduan tidaklah mudah,” katanya.

Jelas Pengerusi PH Perak itu, jentera kerajaan perlu menempuh perjalanan panjang kerana gelombang fitnah tidak akan berhenti daripada membisik dengan suara halus ‘waswasil khannas’ untuk mengelirukan rakyat dari kalangan ‘minal jinnati wannas’.

“Berlindunglah dengan selalu menyebut ‘Hasbunallah wa Nikmal Wakil, Nikmal Maula wa Nikman Nasir’.”Kepada yang menang beradablah dengan cara Islam iaitu dengan ‘Bertasbihlah dengan pujian kepada Tuhanmu dan beristighfar, kerana sesungguhnya Dia Maha Penerima Taubat’ (Al Nasr: 3),” katanya.

Mujahid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, AMANAH telah membuktikan di kedua-dua kerusi berkenaan bahawa perjuangan Rahmah ini diterima oleh rakyat.

Katanya, ia juga adalah petanda bahawa legasi Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayun terus segar dalam hati pengundi.

“Kerjasama PH dan Barisan Nasional (BN) di Johor kini telah menemui temponya dan diharapkan menjadi model yang boleh dibaiki di seluruh negara bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Cakap-cakap Kerajaan Perpaduan akan bertukar pada Ogos hanyalah bisikan-bisikan jahat yang mahu melihat perpaduan dan stabiliti ditumbangkan,” katanya.

Tegas beliau, bisikan halus jahat ini telah menimbulkan keresahan di kalangan rakyat.

“Apakah PN ini tumpuannya semata mahu menjatuhkan kerajaan atau hendak membina negara,” katanya.

Related Articles

Back to top button