Menang atas kerjasama dengan PH, Syed Saddiq wajar umum kosongkan kerusi – AMK
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Haziq Azfar Ishak mengingatkan Presiden parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa beliau memenangi kerusi Parlimen Muar kerana ‘electoral pact bersama Pakatan Harapan (PH)’.
Menurut Haziq, kemenangan Syed Saddiq pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu adalah berdasarkan kerjasama itu yang dibantu pengaruh PH.
Ia jelasnya terbukti apabila Syed Saddiq memenangi kerusi itu dengan poster dan bahan kempennya yang diselitkan sekali logo PH berbanding kekalahan memalukan Muda sehingga hilang deposit apabila mengambil keputusan bertanding secara solo dalam pilihan raya negeri (PRN) lalu.
Justeru tegasnya, Syed Saddiq yang bertindak membawa keluar partinya dari blok kerajaan wajar turut mengumumkan untuk mengosongkan kerusi Parlimen Muar.
“Menyedari duluan (precedent) yang pernah berlaku seperti peristiwa Tan Sri Shahrir Samad yang pernah mengosongkan Parlimen Johor Bahru selepas dipecat daripada UMNO lalu bertanding semula sebagai Bebas dan menang pada tahun 1988, Syed Saddiq digesa melakukan perkara yang sama.
“Ini penting kerana kemenangan beliau di Parlimen Muar bukanlah atas kapasitinya sendiri atau parti Muda sebagai ‘third force’ tetapi atas semangat parti Muda sebagai ‘electoral pact’ bersama PH, katanya dalam kenyataan, malam tadi.