Rakyat Johor beri isyarat tolak parti pergunakan agama secara keterlaluan – Sheikh Umar
Pemimpin parti politik negara ini wajar mengambil isyarat diberikan pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai yang memilih calon dari Kerajaan Perpaduan.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali berkata, kemenangan Nazri Abdul Rahmah dan Suhaizan Kayat pada Sabtu lalu merupakan isyarat jelas bahawa rakyat Johor tidak menerima politik yang mempergunakan agama secara keterlaluan.
Tambahnya, tindakan memperalat agama untuk menarik sokongan politik merupakan satu tindakan sangat tidak bertanggungjawab sekaligus mencalarkan kesucian Islam itu sendiri.
Malah ia jelasnya boleh membenihkan ekstremisme yang meruntuhkan perpaduan rakyat.
“Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah ber’fatwa’ meng’haram’kan rakyat Pulai dari mengundi Suhaizan Kayat semasa fasa kempen yang lalu. Jadi soalan saya sekarang, adakah PN anggap pengundi disana telah lakukan dosa dan perlu bertaubat?
“Saya nak ingatkan PN bahawa pilihan raya adalah proses biasa demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Ini termaktub dalam Perlembagaan dan selari dengan semangat ‘masdaqal ijtima’iyyah’ atau ‘people’s mandate’ dalam perbahasan maqasid syar’iyyah,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Pada Sabtu, Suhaizan Kayat yang juga bekas Speaker DUN Johor menang selesa dengan majoriti undi 18,641 mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN) Zulkifli Jaafar dan calon bebas Samsudin Mohamad Fauzi yang hanya meraih 528.
Di Simpang Jeram pula, Timbalan Ketua Amanah Kawasan Bakri, Nazri Abdul Rahman menang dengan majoriti 3,514 undi mengalahkan calon PN Mohd Mazri Yahya (10,330 undi) dan calon Bebas, S Jeghanaathan (311 undi).
Kemenangan kedua-dua calon PH itu sekaligus menoktahkan gembar gembur kononnya gelombang PN telah merebak ke Johor.
Sementara itu melalui kenyataan serupa, Sheikh Umar berharap PN mengambil iktibar dari kekalah Sabtu lalu dan kembali fokus menjadi pembangkang yang konstruktif dengan peranan untuk bantu kerajaan membangunkan rakyat dan memulihkan ekonomi selain mencadangkan polisi-polisi yang baik.
“Berhentilah daripada perangai adu domba dan manipulasi agama demi kepentingan politik. Ia hanya merugikan rakyat dan negara,” katanya.