Sekretariat Reformis Madani Malaysia pertahan PM Anwar dalam kes DNAA Ahmad Zahid
Sebuah NGO yang menggelar diri mereka sebagai Sekretariat Reformis Madani Malaysia mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari serangan pembangkang berhubung isu mahkamah dihadapi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Jurucakap sekretariat , Khairul Anuar Othman menegaskan kes mahkamah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) baru-baru ini tidak boleh dianggap mencemar reformasi institusi yang sedang diusahakan mahu pun diletakkan beban kepada ketua eksekutif Anwar Ibrahim kerana keputusan itu tidak berlaku dengan campur tangan Kerajaan Perpaduan.
“Kes mahkamah Datuk Seri Ahmad Zahid di bawah bidang kuasa badan kehakiman dan bebas daripada campur tangan Ketua Badan Eksekutif yakni Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Peguam Negara yang mengetuai badan kehakiman, pasukan pendakwa dan barisan hakim dalam kes Datuk Seri Ahmad Zahid adalah lantikan era Kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya pada sidang media di program Temu-rapat Bersama Reformis 98 di Institut Darul Ehsan (IDE) Shah Alam pada Ahad.
Pada 4 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid dari 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar bahawa Jabatan Peguam Negara mahu memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.
Peguam Negara yang mengetuai pasukan pendakwa. Manakala Peguam Negara yang membebaskan Zahid adalah lantikan era PN. Zahid dilepas tanpa dibebas, maksudnya kes ini masih terbuka disiasat SPRM, PDRM, dan Jabatan Peguam Negara. Jika ada bukti baru, akan didakwa semula
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, undang undang dan reformasi institusi pula sedang melaksanakan reformasi seperti mengukuhkan akta sedia ada dan menggubal akta baharu untuk mendidik rakyat Malaysia (melalui hukuman lebih adil),” katanya.
Reformis Madani Malaysia menghimpunkan 18 pertubuhan reformis antaranya pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia, Pro Reformis 98, Otai Reformis 98, Jingga 13, Pro Rakyat, Generasi Keadilan, Rapat Rakyat dan lain lain.