Selangor bakal mulakan projek rintis tanam jagung untuk makanan ternakan
Selangor dilapor sedang mencari teknologi terbaik dan sesuai bagi penanaman jagung di negeri itu.
Exco Infrastruktur dan Pertanian negeri Izham Hashim berkata Malaysia memerlukan empat juta tan jagung setahun untuk dijadikan makanan ayam dan setakat ini, tidak sampai lima peratus yang berjaya ditanam.
Justeru dengan rancangan penanaman jagung itu, ia dijangka dapat mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan jagung eksport luar negara.
“Kita akan buat di tanah seluas 300 ekar di Kuala Langat dan akan mencari tanah lain yang sesuai dalam negeri ini. Kita sudah jumpa benih yang sesuai.
“Sekarang ini, teknologi penanaman jagung bukan pertanian biasa. Di negara luar, 500 ekar dikira kecil kerana mereka tanam jagung di tanah seluas 1,000 ekar dan ke atas,” katanya dipetik.
Izham yang juga ADUN Pandan Indah berkata begitu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pesta Buah-Buahan Selangor di SACC Mall di Shah Alam.
DIifahamkan projek penanaman jagung di Kuala Langat merupakan projek rintis dan bakal diuruskan melalui proses penjenteraan, bukan secara manual.
Sementara itu, ketika mengulas mengapa pihaknya memilih penanaman jagung berkata, kerajaan negeri memfokuskan kepada tanaman dengan permintaan tinggi bagi memastikan tidak berlaku isu lambakan bekalan tidak boleh dijual.