Syarikat telco dijangka tandatangai SSA dalam masa terdekat – Menteri KKD
Semua syarikat telekomunikasi (telco) di negara ini dijangka menandatangani perjanjian langganan saham (SSA) mengenai pemilikan ekuiti dalam Digital Nasional Bhd (DNB) dalam masa terdekat.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pelaksanaan rangkaian 5G di seluruh dapat dipercepatkan dengan penglibatan telco dalam SSA syarikat yang ditubuhkan kerajaan bagi memacu pembangunan rangkaian 5G negara.
Menurut Fahmi, liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk (CoPA) di Malaysia telah mencecah 68.8 peratus setakat 31 Ogos lepas, dan dijangka mencapai 80 peratus menjelang hujung tahun ini.
“Paling lewat (untuk mencecah 80 peratus) mungkin pada Januari (tahun hadapan) jika semua berjalan dengan lancar,” katanya kepada pemberita selepas hadir Festival Sungai Klang pada Ahad.
Pada 21 Julai lalu, Fahmi berkata CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia, U Mobile dan YTL Communications akan memuktamadkan rundingan pemilikan saham dalam DNB, sekali gus menyokong pembangunan rangkaian 5G negara.
Menurut Fahmi, ssas infrastruktur digital penting untuk menyokong pertumbuhan teknologi yang sedang pesat membangun seperti kecerdasan buatan, realiti maya, pengkomputeran awan, Internet of Things dan blockchain.
Justeru bagi memenuhi keperluan infrastruktur negara, Pelan Jalinan Digital Negara, atau lebih dikenali sebagai JENDELA, dilancarkan sebagai platform untuk memastikan Malaysia bersedia untuk pertumbuhan digital negara yang lancar.