Politik

Syed Saddiq dicabar kosongkan kerusi jika ada maruah

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengosongkan kerusi Parlimen Muar sekiranya benar-benar bermaruah.

Gesaan itu disuarakan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Adam susulan pengumuman Syed Saddiq menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

“Saya mengalu-alukan hasrat Syed Saddiq dan Muda untuk keluar dari Kerajaan Perpaduan sekiranya ianya benar-benar hasrat beliau.

“Namun, pendirian beliau meninggalkan Kerajaan Perpaduan sama seperti tindakan ahli-ahli Parlimen BN dan PH yang lompat parti.

“Ini adalah kerana, beliau bertanding di Parlimen Muar pada PRU-15 atas kesefahaman beliau dengan Pakatan Harapan (PH) yang tidak meletakkan calon menentang beliau, malah menyokong dan mengundi beliau.

“Oleh yang demikian, perkara yang paling bermaruah yang sewajarnya beliau buat sekarang adalah mengosongkan kerusi Parlimen Muar dan bertanding semula dengan bantuan rakan-rakan Perikatan Nasional (PN) yang lebih mesra dengan beliau sekarang.

“Itupun kalau beliau masih ada maruah yang tersisa,” kata Lokman dalam satu hantaran di Facebooknya.

Terdahulu, Syed Saddiq memberitahu, keputusan untuk berada di blok pembangkang telah diserahkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menerusi surat yang diutuskan pada Ahad.

Beliau menjadikan keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) menghentikan 47 pertuduhan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai alasan untuk meninggalkan Kerajaan Perpaduan.

Tindakan satu-satunya Ahli Parlimen MUDA di Dewan Rakyat itu bukan perkara mengejutkan, tambahan parti itu meletak calon menentang calon mewakili Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Negeri di enam buah negeri baru-baru ini.

Related Articles

Back to top button