Global

ABIM sedia hantar bantuan buat mangsa gempa bumi di Maghribi

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merakamkan rasa dukacita atas kejadian gempa bumi di Maghribi.

Rasa dukacita itu disampaikan Presiden ABIM, Muhammad Faisal Abdul Aziz melalui satu kenyataan pada Isnin.

“Kami merakamkan rasa dukacita yang mendalam dan tahziah kepada rakyat Maghribi terutama di Marrakech dan beberapa bandar utama lain.

“Bagi pihak seluruh rakyat Malaysia, ABIM ingin mendoakan kesejahteraan mereka yang sedang diuji oleh tragedi gempa bumi ini,” katanya.

Melalui kenyataan sama, ABIM turut memaklumkan pihaknya bersama Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Malaysia for Syria (MFS) bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk menghulurkan bantuan kepada mangsa gempa bumi di Maghribi.

Ketika ini jelas Muhammad Faisal, pihaknya sedang memantau situasi semasa sebelum melakukan sebarang tindakan lanjut.

Gempa bumi yang melanda di kawasan pergunungan bahagian selatan Marrakesh Sabtu lalu disifatkan sebagai yang terburuk melanda Maghribi dalam tempoh 60 tahun.

Angka rasmi kerajaan meletakkan sebagai sekurang-kurangnya 2,122 penduduk terkorban manakala lebih 2,421 cedera, kebanyakan mereka dalam keadaan parah akibat gempa bumi berukuran 7.0 magnitud berkenaan.

Media turut melaporkan, beberapa gegaran susulan dirasai di bandar Marrakesh dan kawasan sekitarnya pada Ahad. Penduduk memberitahu agensi media, mereka merasakan pergerakan tanah yang ketara, biarpun tiada kerosakan berlaku.

Kementerian Luar Negeri sebelum ini memaklumkan bahawa tiada rakyat Malaysia yang terjejas di negara itu.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengeluarkan arahan kepada Duta Besar Malaysia di Maghribi untuk membuat pemantauan secara berterusan dan melaporkan situasi di lokasi kejadian gempa bumi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar sebelum ini memaklumkan Malaysia bersedia menghantar pasukan bagi membantu misi mencari mangsa terbabit bencana itu.

Related Articles

Back to top button