Parlimen

Kerajaan kuatkuasa Akta 847, beri peluang kedua untuk banduan

Kerajaan dilapor mula menguatkuasa Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) mulai hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Perpaduan untuk memberi peluang kedua kepada banduan yang dikenakan hukuman mati dan pemenjaraan sepanjang hayat untuk kembali kepada masyarakat dan keluarga serta meneruskan kelangsungan hidup sebagai rakyat biasa

“Berikutan daripada penguatkuasaan Akta Pemansuhan Hukuman Mati Mandatori 2023 pada 4 Julai 2023, kerajaan selanjutnya akan menguatkuasakan Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847) pada 12 September ini.

“Pelaksanaan mekanisme pengendalian prosiding mahkamah ini akan membolehkan semua 1,020 banduan yang telah dikenakan hukuman mati mandatori dan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat, memfailkan permohonan di mahkamah untuk membuat semakan kepada hukuman masing-masing.

“Keutamaan kepada pelaksanaan mekanisme ini merangkumi faktor seperti umur banduan, tahap kesihatan dan tempoh pemenjaraan banduan serta pertimbangan-pertimbangan lain,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut perkara itu, Azalina memaklumkan jemaah Menteri pada 30 Ogos lalu bersetuju dengan mekanisme pengendalian prosiding mahkamah berhubung semakan hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat setelah mendapatkan cadangan pelbagai sesi libat urus dengan pihak berkepentingan.

Sementara dalam menjamin akses kepada keadilan dan memelihara prinsip kesaksamaan, kerajaan melalui mekanisme dipersetujui telah bersetuju supaya banduan yang dikenakan hukuman mati dan tidak berkemampuan untuk melantik peguam dalam proses semakan hukuman tersebut boleh mendapatkan khidmat guaman yang dilantik mahkamah.

“Bagi banduan yang dikenakan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat, boleh mendapatkan khidmat guaman daripada YBGK.

“Kedua-dua perkhidmatan bantuan guaman yang ditawarkan ini mencerminkan keutamaan dan pendirian kerajaan dalam memastikan keadilan diberikan kepada semua rakyat Malaysia,” tambah beliau sambil menegaskan langkah itu membuktikan prinsip restorative justice dalam sistem keadilan jenayah di Malaysia sentiasa terpelihara.

Related Articles

Back to top button