Parlimen

Kes Zahid: Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan panggil bekas Peguam Negara dan Peguam Negara

Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Ke-15 Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi akan memanggil Peguam Negara dan bekas Peguam Negara bagi memberi penjelasan berhubung keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen selaku Pengerusi JKPK berkata, satu laporan akan dibentangkan kepada Dewan Rakyat sebaik selesai prosiding.

“Saya akan panggil kedua-dua Peguam Negara (Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Tan Sri Idrus Harun (bekas) untuk beri penjelasan.

“Kita (JKPK) akan bentangkan laporan selepas siasatan dibuat,” katanya ketika bangun mencelah pada sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menyatakan demikian bagi menjawab pertanyaan Tan Sri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mempersoalkan tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak usul tergempar Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) untuk membahaskan isu berkenaan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dilaporkan meminta sidang khas Dewan Rakyat ditangguh mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat.

Ia berhubung permohonan penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan penarikan balik 47 pertuduhan ke atas Ahmad Zahid.

Katanya, usul itu adalah perkara tertentu kerana Dewan Rakyat berhak mengetahui perincian dan asas keputusan itu, kerana Timbalan Perdana Menteri adalah seorang anggota pentadbiran kanan Kerajaan Persekutuan dan Ahli Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah menolak usul tergemparnya, namun, tidak memberitahu alasan-alasan menolak usul itu daripada dibahas.

Related Articles

Back to top button