KPKT akan bangunkan sistem pangkalan data Rumah Mampu Milik
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang membangunkan satu sistem pangkalan data bagi mengintegrasikan maklumat daripada pelbagai agensi termasuk swasta berkaitan Rumah Mampu Milik (RMM).
Timbalan Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pangkalan data itu penting bagi memastikan pengurusan pasaran RMM menjadi lebih adil dan telus.
“RMM dibina oleh pelbagai agensi termasuk di bawah kawalan KPKT tetapi ada juga di bawah kawalan kerajaan negeri selain ada dibina oleh swasta.
“Jadi itu mungkin antara penyebab yang menjelaskan berlakunya kelompongan sehingga ada pihak menikmati lebih daripada sebuah RMM,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Persidangan Presiden Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata, di Putrajaya, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, semalam, yakin sasaran membina 500,000 unit RMM dalam RMK12 akan tercapai.
Keyakinan itu disuarakannya melalui pembabitan semua sektor awam dan swasta selepas sebanyak 108,373 unit RMM dibina sehingga akhir tahun lalu.
Mengulas lanjut mengenai KSP RMK12, Akmal Nasrullah berkata, pihaknya menyambut baik pembentangan berkenaan yang menjadi garis panduan kepada KPKT dalam aspek sektor perumahan.
“Seperti dinyatakan Perdana Menteri, kita perlu melihat kepada hasrat bahawa ini bukan lagi kepada soal pemilikan sebaliknya melihat kediaman itu sebagai tempat tinggal.
“Sebab itu, terdapat keperluan di peringkat kerajaan untuk melihat kembali beberapa faktor, bagaimana kita tingkatkan lagi jumlah RMM yang boleh dibina atau siap dibina sama ada daripada agensi kerajaan, negeri mahupun swasta,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, KPKT sedang mengkaji untuk menambah baik elaun diberikan kepada Presiden Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata.
“Dari segi dasar, KPKT melihat pencapaian presiden tribunal ini, jadi kita bersedia untuk mengkaji kadar elaun yang diterima mereka, cuma dari segi kadarnya, kita akan umumkan kemudian,” katanya.