ekonomi

RUU Tanggungjawab Fiskal dibentang di Dewan Rakyat Oktober ini – MOF

Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal (FRA) akan dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini, kata Kementerian Kewangan (MOF)

MOF melalui satu kenyataan pada Isnin berkata, langkah tersebut susulan keputusan sebulat suara Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) yang bermesyuarat semalam mengenai kepentingan dan kesegeraan untuk FRA dibentangkan.

“Rang Undang-Undang berkenaan digubal bersesuaian dengan konteks Malaysia, dijangka dapat menambah baik rangka kerja perundangan fiskal negara.

“Ia mengandungi prinsip pengurusan fiskal yang kukuh dengan memberi penekanan kepada tatakelola, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam pengurusan kewangan awam,” kata kenyataan tersebut.

Mesyuarat FDC yang dipengerusikan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bertujuan meneliti perkembangan ekonomi negara dan kedudukan fiskal kerajaan terkini serta unjuran fiskal jangka sederhana sebagai persediaan Belanjawan 2024.

Jawatankuasa itu membincangkan unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar, kedudukan fiskal kerajaan dan rangka kerja fiskal jangka sederhana untuk penyediaan Belanjawan 2024.

Selain Anwar, mesyuarat itu turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican serta pegawai-pegawai kanan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, dan Bank Negara Malaysia.

Jawatankuasa ini memainkan peranan penting dalam merangka strategi, menetapkan hala tuju serta menambah baik tatakelola pengurusan kewangan awam bagi memperkukuh kedudukan kewangan kerajaan jangka sederhana dan panjang.

Related Articles

Back to top button