Politik

Syed Saddiq terpalit kes pecah amanah, tiada keabsahan moral bicara soal lawan rasuah

Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Atyrah Hanim Razali menyifatkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak mempunyai keabsahan moral untuk menjuarai agenda anti rasuah.

Jelasnya, Ahli Parlimen Muar itu sendiri terpalit kes pecah amanah dan telah diarahkan untuk membela diri setelah kes dibuktikan prima facie.

“Kredibiliti Syed Saddiq juga dipertikaikan bila parti beliau sendiri masih gagal mengemukakan laporan audit bantuan banjir di Pahang pada 2021 yang telah mengumpulkan dana sebanyak RM1 juta,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Syed Saddiq pada Ahad mengumumkan membawa keluar MUDA dari sebahagian parti dalam Kerajaan Perpaduan sekaligus menjadi pembangkang.

Dia menjadikan kes Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dilepas tanpa dibebaskan daripada 47 pertuduhan rasuah membabitkan Yayasan Akalbudi, minggu lalu sebagai alasan untuk bertindak begitu.

Sementara itu tambah Atyrah, Syed Saddiq bukan saja tiada keabsahan moral untuk menjuarai agenda bebas rasuah, malah telah mengkhianati pakatan pilihan raya bersama Pakatan Harapan (PH).

“Pengkhianatan itu berlaku apabila MUDA meletakkan calon di kerusi-kerusi yang disandang PH dan di negeri-negeri yang diperintah oleh PH.

“Namun tidak seorang pun calon di Kedah dan Kelantan yang diperintah oleh Perikatan Nasional (PN) dan hanya seorang calon di Terengganu.

“Persoalan yang harus dijawab MUDA adalah mengapa hanya berani melawan kawan tetapi ramah menyantuni lawan?” soalnya.

Beliau menambah, kerjaya politik Syed Saddiq bermula dengan menyertai parti berasaskan kaum, berpelukan dengan figura politik tertua Malaysia, meningkat naik puncak kuasa dengan naungan politik, kemudian terpalit pula dengan jenayah pecah amanah dan korupsi.

“Pada masa yang sama melaungkan reformasi institusi dan politik baharu, beliau tidak pernah mencela salah guna kuasa, korupsi moral dan politik Tun Dr Mahathir Mohamad, juga memperbetulkan politik naungan yang paling korup dalam sejarah Malaysia,” jelasnya sambil menyifatkan kelakuan Syed Saddiq sebagai satu kehinaan kepada politik anak muda.

Sehubungan itu, beliau mengegsa Syed Saddiq mengosongkan kerusinya secara sukarela bagi memberi peluang untuk diadili oleh pengundi di Muar.

“Hentikan hipokrasi dan hanya menunggang agenda reformasi semata untuk kepentingan diri sendiri,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button