Politik

Ahli Parlimen gesa gencatan politik demi kestabilan dan perpaduan masyarakat

Demi kestabilan ekonomi negara dan perpaduan masyarakat, seorang ahli parlimen mewakili kerajaan pada Selasa mencadangkan agar pemimpin politik di negara ini segera melaksana gencatan politik.

Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) membuat gesaan itu ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) berkata, gencatan itu wajar dikuatkuasa sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Mengulas lanjut, beliau berkata suhu politik negara masih belum reda walaupun selepas 10 bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan.

Situasi menjadi lebih malang jelasnya apabila ada sesetengah pihak yang menggunakan isu 3R iaitu institusi diraja, kaum dan agama untuk kepentingan politik mereka.

Polarisasi politik yang berlaku juga tegasnya dilihat mampu memecahbelahkan masyarakat ke tahap yang amat membimbangkan dan menimbulkan syak wasangka dalam kalangan rakyat sekiranya perkara itu tidak ditangani.

Justeru, beliau mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Kaum dan Kestabilan Negara di Parlimen, melibatkan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bertujuan mewujudkan forum untuk berbincang serta mencari penyelesaian kepada isu-isu sensitif.

“Malaysia perlu mencari forum yang sesuai untuk mencapai persetujuan politik terutamanya berkenaan isu sensitif, kaum, agama dan wilayah. Forum ini diperlukan kerana ahli politik boleh membincangkan isu melalui mesyuarat tertutup.

“… jawatankuasa ini bertujuan mencapai titik pertemuan segala masalah kaum dan agama secara rasional dan penuh rahmah…biarlah segala isu sensitif dibincangkan tanpa sekatan tapi matlamatnya adalah ke arah perpaduan negara dan bukan perpecahan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button