Parlimen

Pemeriksaan kesihatan diwajibkan ke atas Ahli Parlimen – Speaker

Semua Ahli Parlimen diwajibkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara tetap bagi memastikan tahap kesihatan yang baik antara mereka, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Johari berkata, beliau amat prihatin dan mengambil berat terhadap tahap kesihatan membabitkan Ahli Parlimen di dalam dan luar dewan malahan terdapat kes yang telah menyebabkan kepada kematian.

“Saya menyarankan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia supaya pemeriksaan kesihatan secara tetap perlu dibuat ke atas semua Ahli Dewan Rakyat bagi memastikan pemantauan kesihatan berterusan dibuat demi memastikan tahap kesihatan yang baik.

“Saya sendiri melihat 11 MP (Ahli Parlimen) kita tumbang dalam masa 15 tahun. Jadi, saya mohon ambil serius perkara ini kerana saya tahu kita masing-masing sibuk dan kita lupa tentang tahap kesihatan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Johari berkata, pemeriksaan kesihatan itu boleh dilaksanakan di Klinik Kesihatan Parlimen Malaysia, klinik kesihatan atau fasiliti swasta seperti yang diperincikan dalam surat diberikan kepada semua Ahli Parlimen semalam.

“Untuk makluman, pemeriksaan kesihatan ini wajib dijalani oleh semua Ahli Yang Berhormat dan tarikh akhir untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan adalah pada hari Selasa, 31 Oktober,” katanya.

Related Articles

Back to top button