PM Anwar gesa ASEAN Campur Tiga selesai isu Peta Standard China secara damai
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar menegaskan Malaysia amat tegas dalam isu berkaitan Peta Standard China Edisi 2023 yang menunjukkan tuntutan maritim negara republik itu terhadap beberapa negara selain melangkau kawasan maritim Sabah dan Sarawak.
Menerusi satu video di Facebooknya, Anwar menegaskan Malaysia menegaskan prinsip multilateralisme di balik pentas geopolitik yang lebih rencam dan dinamik pada masa ini.
“Malaysia menjunjung undang-undang antarabangsa termasuk yang berkaitan laut sebagai prinsip sejagat yang memagari setiap negara terkait laut dan sumbernya.
“Tentunya Malaysia memilih jalan damai dan dialog dalam merungkai serta menyingkapi permasalahan ini,” katanya yang turut menggesa ASEAN Campur Tiga yang turut dianggotai China, Jepun dan Korea Selatan memainkan lebih peranan ke arah mencapai maksud damai, selain menegaskan prinsip multilateralisme di balik pentas geopolitik yang lebih rencam dan dinamik dewasa ini
Sementara itu dalam kenyataan sama Anwar turut menegaskan Malaysia kekal konsisten dalam mendukung usaha mencari penyelesaian konflik di Myanmar dengan pendekatan secara dua hala atau di peringkat serantau.
Katanya, negara juga berpandangan bahawa situasi di Myanmar adalah permasalahan serantau yang menggugat keselamatan, keamanan, kemajuan dan kemakmuran ASEAN.
“Krisis Myanmar disuarakan Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 di Jakarta dalam mencari jalan penyelesaian terhadap kegalauan berpanjangan dengan menggunakan segala wewenang yang bersesuaian,” tambah Anwar.