Semasa

Polis buka kertas siasatan penganjuran himpunan Selamatkan Malaysia

Polis membuka kertas siasatan berhubung himpunan ‘Selamatkan Malaysia’ yang dirancang oleh Pemuda Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur pada 16 September ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid berkata, pihaknya menerima laporan semalam di IPD Dang Wangi berkenaan satu paparan klip video di TikTok oleh seorang individu yang menyeru orang ramai turun berhimpun di Kompleks Sogo.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Setakat ini sebanyak lima laporan polis diterima berkenaan paparan klip video tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, polis juga mengambil keterangan dua individu bagi membantu siasatan manakala empat orang lagi akan diambil keterangan dalam masa terdekat.

“Polis menasihatkan orang ramai tidak terlibat dengan apa-apa perhimpunan yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang dan tindakan akan diambil kepada mana-mana pihak yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, satu video berdurasi 55 saat memaparkan seorang lelaki mengajak orang ramai untuk menyertai perhimpunan terbabit sempena Hari Malaysia dan mengenakan baju berwarna putih sebagai tanda sokongan.

Related Articles

Back to top button