Nasional

Rancang tanam padi skala besar di Sabah, usaha KPKM tangani isu beras tempatan

Satu pertemuan antara Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dengan Timbalan Ketua Menteri 1 dan Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah Datuk Seri Jeffrey Kitingan dijangka akan diadakan hari ini.

Mohammad ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pavillion Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023 di Kuala Lumpur semalam memaklumkan, pertemuan itu bagi membincangkan penanaman padi berskala besar di negeri itu.

Langkah itu jelasnya merupakan antara usaha kementerian dalam menangani isu keterjaminan makanan berkaitan beras selain akan berbincang mengenai kerjasama dengan pihak swasta untuk menjayakan perkara itu.

“Kita akan buka ladang-ladang padi kita di Sabah tak lama lagi dan esok saya akan jumpa Menteri Pertanian Sabah untuk bincang bagaimana nak menanam padi secara berskala besar di sana.

“Usaha ini kalau kita buat dengan teknologi dan cara yang betul insya-Allah kita boleh capai.

“Kita akan cari jalan yang terbaik bagaimana nak hadapi masalah (bekalan beras) ini dalam jangka masa panjang, dalam jangka masa terdekat,” katanya.

Sementara itu tambahnya, dalam usaha menangani isu keterjaminan makanan yang sedang diusahakan kerajaan, pihak kementerian memerlukan kerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan negeri memandangkan bidang kuasa tanah terletak pada mereka.

Julai lalu, Mohamad meletakkan enam tahun akan datang sebagai tempoh cukup kritikal untuk Malaysia mencapai tahap sara diri (SSL) dalam pengeluaran beras.

Jelasnya penting dalam tempoh itu Malaysia meningkatkan hasil padi negara bagi melindungi kepentingan rakyat susulan risiko negara pengeksport mengurangkan atau menghentikan eksport makanan ruji bagi melindungi permintaan domestik masing-masing.

Untuk itu tambahnya, kerajaan sedang berusaha menambah baik input pertanian padi dan infrastruktur sedia ada dalam sektor perladangan padi dan mengamalkan amalan petani Sekincan ke negeri lain.

Kerajaan juga bercadang memperuntukkan RM3 bilion bagi menambah baik infrastruktur di bawah MADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Muda) bagi memperluaskan lima musim penanaman dalam setiap dua tahun.

Related Articles

Back to top button