Parlimen

Shahidan lupa siapa lantik Idrus Harun sebagai Peguam Negara ?

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dan Peguam Negara yang baharu, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh bakal dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung keputusan melepaskan tanpa membebaskan (DNAA), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi, baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, William Leong Jee Keen berkata, jawatankuasa tersebut telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan mengadakan prosiding berhubung perkara tersebut.

“Saya akan panggil kedua-dua Peguam Negara (Datuk Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun) untuk memberikan penjelasan.

“Kita akan bentangkan laporan selepas siasatan dibuat,” katanya yang juga Ahli Parlimen Selayang.

William berkata begitu bagi menjawab desakan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang terus mempersoalkan tindakan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menolak usul tergempar Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) untuk membahaskan isu berkenaan di Dewan Rakyat.

Sementara itu, tindakan Shahidan semalam ditempelak Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu kemudian mengingatkan Shahidan tidak lupa berhubung siapa Perdana Menteri yang melantik Idrus sebagai Peguam Negara.

“Baru tadi saya dalam dewan (Dewan Rakyat) dan dengar ucapan YB Arau bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1).

“Nak tanya YB, pada 4/9/23 Tan Sri Idrus masih Peguam Negara, siapa lantik? Perdana Menteri kelapan atau Perdana Menteri ke-10? Dah lupa ke atau buat-buat lupa?,” tanya beliau dalam satu hantaran di Twitter.

Untuk rekod, Idrus dilantik sebagai Peguam Negara pada 2020 ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Related Articles

Back to top button