Umum

Agong, Permaisuri Agong zahir sukacita dapat sempurnakan impian dekati rakyat Borneo

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan sukacita dan syukur kerana dapat menyempurnakan impian mendekati rakyat Sabah dan Sarawak menerusi program Kembara Kenali Borneo yang berakhir semalam.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof serta kerajaan negeri Sabah serta Sarawak atas segala bantuan dalam menjayakan program tersebut yang bermula di Tawau, Sabah pada 3 September lalu.

Selain itu, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa terima kasih kepada seluruh rakyat negeri Sabah dan Sarawak atas sambutan hebat yang telah diberikan kepada Baginda berdua dan sekeluarga sepanjang pengembaraan menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, baginda berdua amat terharu dan tersentuh dengan semangat dan kasih rakyat yang dizahirkan di sepanjang jalan raya lokasi pengembaraan tanpa mengira penat lelah, ketika lewat malam serta keadaan cuaca panas terik dan hujan lebat.

“Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat negeri Sabah dan Sarawak atas sambutan sangat hebat yang telah diberikan kepada baginda berdua dan sekeluarga sepanjang pengembaraan menelusuri Lebuhraya Pan Borneo,” titahnya.

Program julung kali diadakan yang bermula di Tawau, Sabah pada 3 September lepas dan melabuhkan tirai di Telok Melano, Sematan, Sarawak semalam, melibatkan perjalanan sejauh 2,154 km menelusuri Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei, mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.

Zahari berkata, segala pengalaman menyaksikan manifestasi kasih rakyat, semangat perpaduan, kepelbagaian budaya serta etnik dan keindahan landskap semula jadi di kedua-dua negeri berkenaan terpahat di hati Seri Paduka berdua dan sekeluarga sebagai kenangan manis yang tidak akan dapat dilupakan.

“Selain itu, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sukacita kerana program Kembara Kenali Borneo juga memberi peluang untuk baginda berdua mengeratkan lagi silaturahim antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak dan juga merealisasikan semangat ‘Raja dan Rakyat Berpisah Tiada’.

“Beta berdua mendoakan semoga rakyat Sabah dan Sarawak dilindungi serta dipelihara oleh Allah dan agar negeri Sabah dan Sarawak kekal makmur, maju jaya dengan rakyatnya juga kekal hidup dengan semangat perpaduan, aman dan sentosa,” titahnya.

Bersempena dengan sambutan Hari Malaysia pada Sabtu ini, Zahari berkata Yang di-Pertuan Agong menyeru seluruh rakyat menghayati dan menjiwai prinsip Rukun Negara yang merupakan asas kepada perpaduan nasional dan pembentukan identiti Bangsa Malaysia.

“Seri Paduka Baginda bertitah, ini kerana setiap lima teras prinsip Rukun Negara ialah formula bagaimana rakyat yang berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa boleh mengatasi segala perbezaan dan kepelbagaian serta hidup rukun dan damai,” katanya.

Sambutan Hari Malaysia tahun ini akan menggunakan tema yang sama dengan Hari Kebangsaan 2023 iaitu ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan’, manakala frasa bahasa Iban di Sarawak ‘Segulai Sejalai’ yang bermaksud seiring sejalan akan digunakan sebagai cogan kata perpaduan untuk seluruh negara.

Sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan pada 16 September ini akan diadakan di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak.

Related Articles

Back to top button