Global

Anwar bangkit isu cadangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura ketika bertemu PM Lee

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan isu berkaitan cadangan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dalam pertemuan dengan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong.

Pertemuan itu susulan lawatan kerja seharinya ke Republik itu pada Rabu yang antara lain bagi menghadiri undangan badan pemikir, Milken Institute, untuk berkongsi pandangan dalam usaha menarik pelaburan dari luar negara ke Malaysia.

“Perbincangan secara persahabatan. Tentu kita bincangkan perkara yang menyentuh kedua-dua negara, tetapi tidak rasmi. Saya tentu membangkitkan isu-isu lain termasuk cadangan kawasan khas (di Johor) bagi pengurus syarikat asing yang bekerja di Singapura,” katanya kepada media Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai zon khas itu Anwar berkata, ia pada masa akan datang akan menjadi alternatif kepada pengurus syarikat global berpangkalan di Singapura untuk menetap.

“Kawasan ini akan memudahkan perjalanan mereka. Hidup dalam keadaan yang lebih selesa, suasana yang lebih baik dengan kemudahan termasuk sekolah antarabangsa, kelab golf dan perjalanan yang mudah melalui Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua),” katanya sambil turut memaklumkan banyak menerima mengenai idea zon khas itu dalam perjumpaan terdahulunya bersama pelabur global hari ini.

“Saya telah menyatakan kepada pelabur bahawa kos pengurusan terlalu tinggi (di Singapura). Mereka boleh terus bekerja di Singapura dan menetap di Johor,” tambahnya.

Malaysia dan Singapura pada Julai telah bersetuju untuk mewujudkan pasukan petugas khas bagi mengkaji penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.

Pasukan petugas khas itu akan melaporkan perkembangannya kepada para pemimpin apabila mereka mengadakan pertemuan ketika Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura akan datang yang dijadualkan pada Oktober ini.

Related Articles

Back to top button